Thursday 5 January 2012

The Living Legend of Malaysia Rockstar...

Semua kerana minat
( Berita Harian )
2012/01/06

 Amy melayan peminat kecil ketika muncul mengadakan persembahan pada Karnival Sijil Simpanan Premium baru-baru ini.
Amy melayan peminat kecil ketika muncul mengadakan persembahan pada Karnival Sijil Simpanan Premium baru-baru ini.
Aura Amy masih membara walaupun tiga dekad di arena seni 

SABTU lalu, dia berada di Kuching, Sarawak, menyempurnakan penutup Konsert Fenomena 30 Tahun Search. Seawal jam 4 pagi keesokan harinya, Amy dan isteri, Norish, sudah bersiap-siap ke lapangan terbang untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana ada tugas yang harus disempurnakan.
Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dia dan isteri cuma pulang seketika ke rumah sebelum menuju ke pusat beli-belah Sunway Pyramid kerana memenuhi undangan Karnival Sijil Simpanan Premium anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN).
Ketika ditanya, dari mana dia mengumpul segala kekuatan pada usia sudah melebihi setengah abad, bergegas ke sana sini tetapi masih lagi bertenaga? Jawab bapa kepada lima cahaya mata ini, formulanya mudah, iaitu tidak menganggap pekerjaan sebagai beban. 

Sebaliknya semua itu dilakukan kerana minat. 

“Alhamdulillah saya masih lagi boleh menyanyi dan tidak pernah penat dengan profesion ini. Setiap kali mengadakan persembahan, saya tidak pernah anggap ia satu tugas sebaliknya saya hanya memikirkan mengenai keseronokan. 

“Bagi saya, apabila melakukan sesuatu perkara kerana didorong minat, secara tidak langsung segala kepenatan walaupun terpaksa berkejar ke sana-sini tidak terasa. Lagipun, menyanyi ialah perkara yang amat saya minati. Selagi kudrat masih ada saya akan meneruskan kerjaya ini,” kata penyanyi berusia 54 tahun ini. 
Apa yang diperkatakan Amy ternyata ada benarnya. Keikhlasan melayani 30 pelajar dari Rumah Anak-Anak Yatim Al Nasuha Taman Pinggiran Gombak, Batu Caves, jelas terpancar pada wajah penyanyi yang tidak dimakan usia ini. 

Selain anak yatim, kemunculan Amy di ruang legar pusat beli-belah itu turut menggamit perhatian pengunjung. Ternyata aura Amy Search masih kuat, seperti tidak akan pudar. 

Pengunjung pusat berkenaan sememangnya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan percuma dihidangkan petang itu. Siapa yang mahu terlepas peluang keemasan dihiburkan seorang penyanyi legenda tanah air? 

Walaupun hanya persembahan percuma, Amy ikhlas serta bersungguh-sungguh menghiburkan mereka. Dua lagu, Isabella dan Kerja Gila, menjadi pilihan untuk dihadiahkan buat pengunjung pada petang itu. 

Kelihatan ramai yang menguntum senyum puas melihat persembahan lelaki ini, barangkali mereka sendiri tidak menyangka kerana menjadi insan bertuah apabila berpeluang bertemu dengan seorang penyanyi rock hebat negara. 

Serik empat kali ditipu 

KEBETULAN majlis dihadiri berkaitan dengan wang simpanan, soalan yang mempunyai hubung kait dengan topik menabung demi masa depan turut diajukan. 

Pantas jawabnya, dia menyimpan demi masa depan anak-anak yang sedang membesar. Apatah lagi dia sendiri bukanlah orang yang gemar membeli-belah, sebaliknya aktiviti itu dilakukan apabila dirasakan perlu. 

Kata Amy lagi, andai satu hari nanti dia perlu menjalani rawatan di hospital, dia berhak duduk di wad kelas pertama atas usahanya berkerja bertungkus-lumus selama ini. 

“Saya menyimpan demi anak-anak. Segala rezeki yang saya dapat sekarang, semuanya untuk mereka. Untuk diri saya tidak begitu penting. Sekarang ini saya lebih selesa menyimpan sendiri dan tidak mahu lagi mempercayai sebarang skim pelaburan selepas ditipu sebanyak empat kali. 

“Selepas ditipu, saya menjadi lebih berhati-hati. Saya tidak pernah ada pengalaman dalam dunia pelaburan, yang saya tahu hanyalah bidang nyanyian. Apabila ada tawaran yang menjanjikan pulangan menarik, hati saya terpikat. Tanpa mahu bersikap skeptikal dengan orang yang menawarkan skim itu, saya bersetuju menyertainya. 

“Lagipun mereka ini ialah peminat saya. Jadi saya mudah percaya mereka tidak akan sesekali menipu saya. Sepatutnya saya tidak boleh terlalu mempercayai mereka kerana akhirnya saya juga yang ditipu. Bukan sedikit kerugian saya alami, tetapi habis bersih mereka tipu saya,” katanya yang serik dengan pengalaman hitam itu.

No comments:

Post a Comment