Sunday 1 April 2012

Siapa Sangka ....

Perkenal makanan Sabah

Sumber - Harian Metro
 
MASAI: Lambakan hampir 20,000 penduduk Sabah pelbagai suku di sini menyebabkan mereka lebih mudah mengamalkan budaya serta cara hidup asal.
Ibarat berada di negeri asal, bukan hanya bahasa suku masih menjadi pertuturan harian, malah makanan tradisional juga boleh didapati dengan mudah di sini.

Dua kawasan utama menjadi tumpuan masyarakat Sabah bagi mendapatkan makanan tradisional mereka iaitu di Jalan Jagung dan Jalan Suria.

Di Jalan Suria misalnya, hampir 15 jenis makanan tradisional masyarakat Sabah khususnya suku Suluk dijual.

Ada 14 gerai menjual pelbagai jenis makanan unik yang jarang ditemui di tempat lain antaranya junay, basong, pitis, puteri mandi dan tabit-tabit.

Peniaga yang ditemui, Hainun Saranahadal, 50, berkata, kemahiran memasak makanan tradisional ini dipelajari daripada ibunya ketika berada di Sabah.


“Sebelum ini saya hanya menjual pisang goreng di tepi jalan bagi membantu suami menambahkan pendapatan. Selepas berpindah ke tapak baru sini, saya menambahkan kepelbagaian masakan dan semuanya makanan tradisional suku kami,” katanya.

Berasal dari Tanah Merah, Kudat, Hainun berpindah ke Negeri Sembilan pada 1999 mengikut suaminya yang mendapat tawaran kerja membina bangunan di Putrajaya, sebelum berpindah ke Johor untuk bekerja di kilang.

“Saya hanya tahu memasak makanan Sabah. Mujurlah di sini ramai orang dari negeri sama, memudahkan lagi saya menjual makanan.

“Harga makanan pula berpatutan sesuai taraf ekonomi mereka yang kebanyakannya bekerja di kilang.

“Bagi saya biarlah untung sedikit, asalkan ada pembeli. Lagipun, jika dinaikkan harga, pelanggan pula terbeban,” katanya.

Kuih-muih di sini dijual 25 sen sebiji dengan saiz agak besar dan rasa sedap berbanding di tempat lain 40 sen sebiji.

Antara makanan popular ialah junay yang diperbuat daripada nasi. Ia digoreng bersama rempah ratus hingga separuh masak terlebih dulu sebelum dibungkus dengan daun pisang untuk dikukus.

Ibarat nasi lemak, junay sering menjadi pilihan masyarakat di sini untuk dimakan berlaukkan telur rebus dengan harga semurah RM1.

Satu lagi masakan istimewa ialah sianglag, diperbuat daripada ubi kayu yang dihancurkan dan digoreng bersama kelapa.

Menurut Zaharah Arajol, 49, makanan ini boleh mengenyangkan sehingga orang ramai tidak perlu makan nasi, selain sesuai dimakan sepanjang masa.

“Seperti juga nasi, sianglag boleh dimakan dengan lauk seperti ikan ataupun gula mengikut selera masing-masing.

“Ia makanan tradisional masyarakat kampung di Sabah kerana ubi kayu menjadi antara tanaman utama suatu ketika dulu selain kesukaran mendapatkan beras,” katanya.

Mekanik, Mohd Zain Abaut, 21, berkata, deretan gerai kecil di Jalan Suria memudahkannya mendapatkan makanan tradisional Sabah.

“Hidup merantau jauh dari kampung halaman di Kota Kinabalu pastinya menyukarkan saya untuk menikmati makanan tradisional, namun masalah itu tidak timbul sebaliknya makanan Sabah boleh diperoleh dengan murah.

“Bayangkan dengan harga RM2 saja, saya sudah boleh menikmati makan tengah hari dan ia cukup mengenyangkan memandangkan kuantitinya yang banyak,” katanya.

Bagi Shana Abd Aziz, 20, walaupun sudah berpindah ke Johor sejak berusia tiga tahun, dia masih dibesarkan dengan masakan Sabah.

“Makanan tradisional ini mendekatkan lagi diri dengan negeri kelahiran serta budaya hidup keluarga. Terus terang, saya tidak dapat mengingat kampung halaman di sana kerana berpindah ke sini sejak kecil lagi.

“Oleh itu, setiap kali menikmati makanan tradisional, ia dapat mengingatkan saya asal usul diri selain dapat beramah mesra dengan masyarakat Sabah yang lain,” katanya.

Apa ko rasa ....

7 positif dadah di lebuh raya

- Harian Metro

TAHAN...empat daripada tujuh lelaki yang ditahan kerana positif dadah, kelmarin.
TAHAN...empat daripada tujuh lelaki yang ditahan kerana positif dadah, kelmarin.
PERIKSA...Ismail memeriksa sebuah kereta dalam operasi, kelmarin.
PERIKSA...Ismail memeriksa sebuah kereta dalam operasi, kelmarin.
 
SHAH ALAM: Seramai tujuh lelaki berusia 20-an ditahan kerana positif dadah jenis ganja dan syabu ketika operasi bersepadu besar-besaran dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dengan kerjasama agensi lain di Tol Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) Batu Tiga menghala Kuala Lumpur, di sini, malam kelmarin.
Operasi bermula jam 8 malam sehingga 12 tengah malam itu membabitkan 130 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Ketua Operasi, Timbalan Pengarah JPJ, Datuk Ismail Ahmad berkata, sebanyak 252 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap pemandu kenderaan dan penunggang motosikal, manakala 23 motosikal disita.

“Antara kesalahan dikesan termasuk menunggang dan memandu tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, penggunaan cermin gelap melebihi spesifikasi dibenarkan, kenderaan yang diubah suai tidak mendapat kelulusan dan ekzos mengeluarkan bunyi terlalu bising.

“Selain itu, JPN menahan tiga pendatang asing tanpa izin di dalam sebuah bas kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu berakhir.

Ismail berkata, operasi bersepadu yang julung kali dilakukan bagi tahun ini akan dilakukan setiap tiga bulan manakala operasi rutin yang dilakukan bagi setiap minggu diteruskan.


Menurutnya, operasi ini dijalankan untuk menyedarkan pengguna jalan raya mengutamakan keselamatan dan mematuhi undang-undang jalan raya.

“Saya berharap dengan adanya operasi seperti ini kadar kemalangan di Malaysia berkurangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, PDRM mengeluarkan 75 saman atas pelbagai kesalahan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal manakala 27 kes dilaporkan berkaitan kesalahan imigresen.

Ini Barulah siuk ..

Bayar RM10 untuk tonton tarian ghairah


 
KUALA LUMPUR: Hanya RM10 untuk menonton persembahan ghairah. Itu yang ditawarkan sebuah premis hiburan yang diserbu Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor di Taman Prima, Selayang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam serbuan jam 1.30 pagi itu, 23 pelayan pelanggan (GRO) warga asing berpakaian seksi yang asyik menari ghairah di atas pentas peragaan ditahan. Kadar bayaran yang rendah itu menjadi faktor premis hiburan terbabit dikunjungi ramai pelanggan untuk berhibur bersama GRO pilihan.

Ketua Operasi, Asisten Superintendan Azli Abu Shah berkata, ketika serbuan, semua GRO terbabit yang terkejut dengan kehadiran polis melarikan diri melalui pintu belakang premis, namun gagal selepas dikejar anggota polis.

Katanya, dalam serbuan itu, empat lelaki dipercayai penjaga premis dan 23 GRO iaitu lapan warga Thailand, sembilan (Vietnam), empat (Indonesia) dan dua (China) ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati semua mereka yang berusia 19 hingga 39 tahun itu bekerja sebagai penari ghairah dan tidak terbabit aktiviti pelacuran.

“Mereka hanya menari di pentas untuk menghiburkan pengunjung dengan berpakaian seksi,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, pelanggan yang berpuas hati dengan tarian mereka boleh menambah RM10 untuk membeli kalungan bunga bagi diberi kepada GRO terpilih.

Dera ...

Tali pinggang ‘makan’ anak tiri


 SUBANG JAYA: Hanya kerana bermain basikal di dalam rumah dan merosakkan basikal adiknya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun teruk dibelasah bapa tirinya di rumah mereka di Puchong Utama, di sini, Khamis lalu.
Kejadian itu disedari guru mangsa yang mendapati kanak-kanak itu bengkak di kepala, pendarahan dalam mata serta luka di kiri dan kanan lengannya akibat dibelasah dengan tali pinggang ketika datang ke sekolah, jam 9 pagi, keesokan harinya. Menurut sumber, mangsa bermain basikal di dalam rumah sebelum dimarahi bapa tirinya. “Tidak puas hati dimarahi, mangsa memberontak dengan merosakkan basikal adiknya sebelum dikejar bapa tirinya yang kemudian membelasah kanak-kanak terbabit dengan tali pinggang.

“Mangsa bengkak di kepala serta pendarahan di dalam matanya. Kedua-dua lengan serta belakang badan mangsa turut cedera akibat dilibas dengan tali pinggang,” katanya.

Sehubungan itu, guru mangsa yang berusia 31 tahun membawa mangsa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan guru terbabit dan berkata, mengikut keterangan mangsa, kejadian berkenaan kali pertama berlaku.

“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.