Sunday 1 April 2012

Siapa Sangka ....

Perkenal makanan Sabah

Sumber - Harian Metro
 
MASAI: Lambakan hampir 20,000 penduduk Sabah pelbagai suku di sini menyebabkan mereka lebih mudah mengamalkan budaya serta cara hidup asal.
Ibarat berada di negeri asal, bukan hanya bahasa suku masih menjadi pertuturan harian, malah makanan tradisional juga boleh didapati dengan mudah di sini.

Dua kawasan utama menjadi tumpuan masyarakat Sabah bagi mendapatkan makanan tradisional mereka iaitu di Jalan Jagung dan Jalan Suria.

Di Jalan Suria misalnya, hampir 15 jenis makanan tradisional masyarakat Sabah khususnya suku Suluk dijual.

Ada 14 gerai menjual pelbagai jenis makanan unik yang jarang ditemui di tempat lain antaranya junay, basong, pitis, puteri mandi dan tabit-tabit.

Peniaga yang ditemui, Hainun Saranahadal, 50, berkata, kemahiran memasak makanan tradisional ini dipelajari daripada ibunya ketika berada di Sabah.


“Sebelum ini saya hanya menjual pisang goreng di tepi jalan bagi membantu suami menambahkan pendapatan. Selepas berpindah ke tapak baru sini, saya menambahkan kepelbagaian masakan dan semuanya makanan tradisional suku kami,” katanya.

Berasal dari Tanah Merah, Kudat, Hainun berpindah ke Negeri Sembilan pada 1999 mengikut suaminya yang mendapat tawaran kerja membina bangunan di Putrajaya, sebelum berpindah ke Johor untuk bekerja di kilang.

“Saya hanya tahu memasak makanan Sabah. Mujurlah di sini ramai orang dari negeri sama, memudahkan lagi saya menjual makanan.

“Harga makanan pula berpatutan sesuai taraf ekonomi mereka yang kebanyakannya bekerja di kilang.

“Bagi saya biarlah untung sedikit, asalkan ada pembeli. Lagipun, jika dinaikkan harga, pelanggan pula terbeban,” katanya.

Kuih-muih di sini dijual 25 sen sebiji dengan saiz agak besar dan rasa sedap berbanding di tempat lain 40 sen sebiji.

Antara makanan popular ialah junay yang diperbuat daripada nasi. Ia digoreng bersama rempah ratus hingga separuh masak terlebih dulu sebelum dibungkus dengan daun pisang untuk dikukus.

Ibarat nasi lemak, junay sering menjadi pilihan masyarakat di sini untuk dimakan berlaukkan telur rebus dengan harga semurah RM1.

Satu lagi masakan istimewa ialah sianglag, diperbuat daripada ubi kayu yang dihancurkan dan digoreng bersama kelapa.

Menurut Zaharah Arajol, 49, makanan ini boleh mengenyangkan sehingga orang ramai tidak perlu makan nasi, selain sesuai dimakan sepanjang masa.

“Seperti juga nasi, sianglag boleh dimakan dengan lauk seperti ikan ataupun gula mengikut selera masing-masing.

“Ia makanan tradisional masyarakat kampung di Sabah kerana ubi kayu menjadi antara tanaman utama suatu ketika dulu selain kesukaran mendapatkan beras,” katanya.

Mekanik, Mohd Zain Abaut, 21, berkata, deretan gerai kecil di Jalan Suria memudahkannya mendapatkan makanan tradisional Sabah.

“Hidup merantau jauh dari kampung halaman di Kota Kinabalu pastinya menyukarkan saya untuk menikmati makanan tradisional, namun masalah itu tidak timbul sebaliknya makanan Sabah boleh diperoleh dengan murah.

“Bayangkan dengan harga RM2 saja, saya sudah boleh menikmati makan tengah hari dan ia cukup mengenyangkan memandangkan kuantitinya yang banyak,” katanya.

Bagi Shana Abd Aziz, 20, walaupun sudah berpindah ke Johor sejak berusia tiga tahun, dia masih dibesarkan dengan masakan Sabah.

“Makanan tradisional ini mendekatkan lagi diri dengan negeri kelahiran serta budaya hidup keluarga. Terus terang, saya tidak dapat mengingat kampung halaman di sana kerana berpindah ke sini sejak kecil lagi.

“Oleh itu, setiap kali menikmati makanan tradisional, ia dapat mengingatkan saya asal usul diri selain dapat beramah mesra dengan masyarakat Sabah yang lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment