Wednesday, 4 January 2012

Amerika tertekan (Berita Harian)


China sokong Iran hadapi Washington


2012/01/05

Ahmad Vahidi
Ahmad Vahidi
Tehran beri amaran serang askar Amerika Syarikat 

BEIJING: China menyifatkan sekatan baru Amerika Syarikat ke atas Iran tidak mendapat sokongan antarabangsa disusuli amaran kedua Tehran ia akan menyerang askar kuasa besar itu jika kapal tentera lautnya sekali lagi melalui Selat Hormuz.
Beijing memberi ulasan itu selepas Presiden Barack Obama menandatangani undang-undang baru menyasarkan Bank Pusat Iran menyusuli langkah Britain dan Kanada mengenakan sekatan baru ke atas Tehran kerana membina senjata nuklear.
“China menentang undang-undang domestik digunakan ke negara lain tanpa sokongan antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Luar, Hong Lei. 

Sekatan baru Barat itu memaksa firma asing memilih untuk berurusan dengan Iran atau Amerika. 

Pemimpin politik dan tentera Iran memberi amaran, sekatan itu akan memaksa mereka menutup Selat Hormuz, laluan 20 peratus penghantaran minyak dunia. 

“Iran akan melakukan apa saja untuk menjamin keselamatan Selat Hormuz. Kami sudah cakap bahawa kehadiran tentera luar rantau Teluk memberi kesan buruk,” kata Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi. 
Ulasan itu menyusuli kenyataan tentera Iran bahawa ia akan menggunakan semua kekuatannya jika kapal pengangkut pesawat Amerika kembali ke Teluk. 

“Kami tidak mahu mengulangi amaran dan hanya mahu menyuarakannya sekali saja,” kata pemerintah tentera laut Iran, Brigadier Jeneral Ataollah Salehi. 

Rumah Putih pula menyifatkan amaran itu petanda Iran semakin lemah kerana tekanan sekatan antarabangsa. Jabatan Pertahanan Amerika berkata, ia tidak akan mengubah rancangan menempatkan kapal perangnya di Teluk. 

Minggu lalu, kapal pengangkut pesawat Amerika, USS John C Stennis, melalui Selat Hormuz ke Teluk Oman dan lalu dekat perairan yang digunakan tentera laut Iran bagi melakukan latihan. – Agensi 

No comments:

Post a Comment